Monday, November 23, 2015

Senarai Aktiviti Semasa Cuti Sekolah

Picture Credit : Cuti Sekolah Datang Lagi


Cuti sekolah datang lagi! Inilah saat- saat yang ditunggu oleh anak – anak kita semua. Inilah juga masa untuk ibu dan ayah menyusun aktiviti untuk mereka semasa cuti persekolahan ini. Ada yang menghantar anak ke kampung. Ada yang menghantar anak ke program cuti sekolah dan ada juga yang menghantar anak ke pusat tusyen untuk persediaan peperiksaan tahun depan.

Ini mungkin mudah bagi sesetengah ibu – bapa yang masih punya sanak dan saudara di kampung atau pun berkemampuan untuk menghantar anak mengikuti mana – mana program atau pusat tusyen.

Bagaimana pula dengan ibu – bapa yang tidak dapat menghantar anak masing – masing ke mana – mana? Jangan risau! Sebenarnya ada banyak cara untuk memenuhi masa terluang mereka dengan aktiviti yang berfaedah.

Membaca Buku
Tanamkan minat membaca anak – anak dari usia yang muda. Belikan mereka bahan bacaan yang baik dan sesuai untuk mereka. Pelbagaikan juga bahan bacaan mereka. Belikan majalah dan buku – buku cerita pelbagai genre dari pelbagai bahasa seperti Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Sekiranya anak – anak dihantar ke sekolah Cina atau Tamil, perlulah ditambah bahan bacaan supaya mereka dapat memantapkan lagi kosa kata mereka.

Aktiviti Mewarna dan Melukis
Sekiranya anak anda suka aktiviti mewarna dan melukis. Anda boleh belikan buku mewarna atau mencetaknya dari Internet. Contohnya seperti mewarna ‘Doodles’ atau watak – watak kartun yang mereka gemari. Sekiranya mereka suka melukis, ibu bapa juga boleh sediakan satu buku untuk mereka hasilkan karya mereka. Boleh muat turun aktiviti mewarna dan melukis dengan percuma di sini

Aktiviti Permainan Bahasa
Permainan bahasa seperti sahibba atau ‘scrabble’ merupakan antara aktiviti – aktiviti yang agak popular. Selain daripada permainan permainan papan atau ‘board game’, kita juga boleh sediakan permainan bahasa seperti silangkata, mencari perkataan tersembunyi dan lain – lain. Aktiviti seperti ini walaupun nampak santai sebenarnya dapat membantu mereka dalam menambahkan kosa kata mereka. Ia juga dapat membantu dalam ejaan mereka.



Picture Credit : Aktiviti Memasak Bersama Keluarga

Aktiviti Memasak dan Menjahit
Waktu cuti sekolah ini, ibu bapa bolehlah gunakan masa ini untuk mengajar anak – anak memasak, membuat kek atau pun menjahit. Dengan cara ini anak - anak boleh belajar sesuatu yang baru. Secara tidak langsung, anak – anak kita sudah ada satu kemahiran tambahan.

Aktiviti Kraf
Terdapat banyak aktiviti kraftangan yang senang dan mudah bagi ibu bapa lakukan bersama anak – anak kita. Cara - cara seperti menghasilkan sesuatu dari kertas dan bahan – bahan terbuang mudah didapati di Internet atau pun di majalah – majalah.

Aktiviti Beriadah
Ambillah kesempatan ini untuk beriadah bersama – sama anak – anak kita. Bawa mereka ke taman atau tempat rekreasi dan beriadahlah bersama mereka. Secara tidak langsung, kita dapat menyihatkan tubuh badan bersama ahli keluarga kita!

Melancong Ke Tempat Bersejarah
Selalunya pada waktu cuti sekolah, ibu bapa akan mengambil kesempatan untuk bercuti bersama – sama keluarga sama ada di dalam atau di luar negara. Ketika melancong, bawalah anak – anak ke tempat bersejarah supaya mereka dapat menimba satu pengalaman yag berharga. Sambil melancong, mereka dapat belajar sesuatu daripada bacaan dan pemerhatian mereka.

Ini adalah antara cadangan aktiviti – aktiviti semasa cuti sekolah. Pelbagaikan aktiviti mereka supaya mereka tidak mudah bosan. Untuk pelbagaikan aktiviti ini, kita bolehlah sediakan jadual semasa cuti sekolah. Atau pun untuk lebih menarik lagi, kita bolehkan sediakan satu balang atau kotak yang penuh dengan idea – idea aktiviti untuk anak – anak lakukan pada hari itu. Mereka hanya ambil satu dan lihat apakah aktiviti yang perlu mereka lakukan pada hari itu.

Selamat mencuba!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...