Sunday, August 15, 2010

7 Amalan Sunat Rasulullah SAW Di Bulan Ramadhan

Ghairahnya Rasulullah SAW mahu bertemu Ramadhan yang cukup mulia sehingga Baginda Rasul SAW sejak Rejab sudah bersedia dan meminta dipanjangkan umur sehingga bertemunya. Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan rahmat, pengampunan, kemuliaan dan kasih sayang daripada Allah. Terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi di dalam Al-Syu'ab, disebutkan bahawa apabila Rasulullah memasuki bulan Rejab, Nabi SAW akan berdoa:-

"Ya Allah! Berkatilah ke atas kami pada bulan Rejab dan Syaaban serta panjangkanlah umur kami sampai ke bulan Ramadhan."


Diriwayatkan juga oleh At-Tabarani di dalam Al-Kabir, bahawa Rasulullah SAW bersabda:


"Seandainya seorang hamba mengetahui apa yang terkandung di dalam bulan Ramadhan, dan apakah sebenarnya Ramadhan itu, nescaya hamba itu akan berangan-angan agar satu tahun dijadikan oleh Allah sebagai bulan Ramadhan."


Antara amalan Rasulullah di sepanjang Ramadhan adalah:-


1. Bangun Bersahur
Daripada Abu Zar R.A. Rasulullah SAW bersabda: "Sentiasalah umatku dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka dan mengakhirkan sahur." Sunat untuk bersahur sekurang-kurangnya dengan sedikit makanan kerana di dalam makan sahur itu terdapat keberkatan dan disunatkan bersahur dengan memakan kurma.


2. Melambat - Lambatkan Makan Sahur
Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari di dalam suatu hadith Sahih : "Kami makan sahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami berdiri untuk solat Subuh. Jarak waktu di antara kedua-duanya (waktu sahur dan masuk waktu Subuh) ialah selama membaca 50 ayat Al-Qur'an."


3. Sunat Menyegerakan Berbuka Puasa
Sunat untuk berbuka puasa dengan Ruttab (kurma basah - Kegemaran saya ni!). Sekiranya tiada, sebaiknya dengan tamar (kurma kering). Sekiranya tidak diperolehinya juga, maka seeloknya berbukalah dengan air kerana di dalam hadith sahih ada menyatakan: "Bahawa Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum solat dengan tiga biji Ruttab. Jika tiada, maka Baginda SAW berbuka dengan 3 biji tamar. Sekiranya tiada juga, maka Baginda SAW berbuka dengan meminum 3 teguk air."


4. Sunat Meninggalkan Bersugi Setelah Matajari Tergelincir
Adakala apabila perut mula berkeroncong, ada yang mengambil kesempatan untuk bersugi kerana mulut terasa lebih nyaman. Tetapi, setelah matahari tergelincir, adalah disunatkan untuk tidak lagi bersugi sehinggalah selepas waktu berbuka.


5.
Sunat Memperbanyakkan Sedekah Dan Memperluaskan Belanja Kepada Ahli Keluarga, Kaum Kerabat Dan Jiran
Ibnu Abbas R.A berkata, "Rasulullah SAW merupakan orang yang paling pemurah. Baginda SAW lebih pemurah ketika berada dalam bulan Ramadhan ketika Baginda SAW ditemui oleh Jibril. Baginda menemuinya pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan kerana bertadarus Al-Qur'an bersamanya. Maka sebenarnya Rasulullah SAW lebih pemurah dengan kebaikan daripada angin yang menghembus."


Disunatkan pada bulan puasa untuk memberikan makanan berbuka kepada orang lain sekalipun dengan kurma atau air. Tetapi yang paling afdhal ialah mengenyangkan orang yang berbuka. Sabda Rasululullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi: "Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, maka baginya pahala seperti pahala orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangkan pahalanya (pahala orang berpuasa yang diperolehinya) sedikit pun."


6. Memperbanyakkan Tadarus Al-Quran
Iaitu saling membaca dan mendengar bacaan Al-Qur'an. Dalam suatu hadith sahih dinyatakan: "Malaikat Jibril datang menemui Nabi SAW tiap-tiap malam dalam bulan Ramadhan, maka ia bertadarus Al-Qur'an bersama-sama Nabi SAW."


7.
Memperbanyakkan Beriktikaf
Abu Said Al-Khudri r.a. berkata, "Sesungguhnya Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada 10 pertengahan bulan Ramadhan sehingga ke malam 21 dan pada pagi harinya Baginda SAW keluar sambil bersabda: "Sesiapa yang hendak beriktikaf, maka pilihlah 10 malam yang terakhir, ini kerana sesungguhnya aku telah diperlihatkan Lailatul Qadar kemudian aku dilupakannya. Oleh kerana itu, carilah Lailatul Qadar pada 10 hari terakhir terutama pada malam-malam ganjil."


Banyakkan beriktikaf terutamanya pada 10 hari terakhir Ramadhan. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Baginda SAW apabila masuk ke malam 10 terakhir Ramadhan, Baginda SAW menghidupkan 10 malam terakhir tersebut dengan melakukan ibadah, mengejutkan ahli keluarganya lebih bersungguh-sungguh untuk mengerjakan ibadah dan mennguatkan ikatan kainnya.

Sumber : Azizah - Bijah

No comments: